Aku, Naktopi, Nawawi Mohshin & Apa Yang Aku Nak Sebenarnya?

Aku, Naktopi, Nawawi Mohshin & Apa Yang Aku Nak Sebenarnya?


Aku pernah jual topi dekat Instagram.


Kedai topi aku tu, Naktopi namanya. Nama bisnes yang aku daftarkan dekat SSM pulak — Naktopi Marketing.


Untuk SSM, aku rasa dah expired pun tahun lepas. Cuma akaun bank Naktopi Marketing tu je masih aktif sampai sekarang (Entahlah, ya kot. Aku agak je. Haha.)


Kalau tak silap aku, nama Naktopi tu inspirasi dari nama media company "Nakbebel" sebenarnya.


Pada awalnya, idea aku hanyalah nak buat satu akaun Instagram yang post quote je. Seperti akaun Instagram yang seangkatan dengan Nakbebel tu, akaun Instagram pun menggunakan pendekatan merembat ayat-ayat padu dari Twitter dan dari segenap dimensi laman media sosial, termasuklah Facebook.


Bezanya, aku bukan copy/paste bulat-bulat je ayat-ayat sedap  dan power tu. Sebaliknya, aku olah sikit dan ada juga antaranya yang aku buat sendiri sebab aku memang suka menulis (tapi tak adalah sampai tahap suka gila-gila).


Cara akaun Naktopi aku tu nak buat duit adalah dengan menawarkan servis paid review. Aku sediakan slot iklan untuk IG shop yang nak buat iklan.


Ya, aku pernah dapat duit dengan buat benda macam tu. Tapi, tak adalah masyuk sangat pun. Biasa-biasa je untung yang aku pernah dapat tu.


Dalam masa sama, aku terfikir jugak, ada baiknya kalau aku jual satu benda yang ada ciri-ciri macam ni:


  • Produk yang boleh digunakan oleh lelaki/perempuan.
  • Tak terlalu banyak variasi. Lagi bagus kalau satu variasi je. Senang nak urus.
  • Mudah untuk diuruskan bab postage dan penghantaran.
  • Bukan makanan sebab aku malas nak tanggung kalau dia expired.
  • Buat dropship je. Jadi, aku tak payah susah-susah nak simpan stok apa bagai.


Berdasarkan ciri-ciri kat atas ni, entah macam mana, aku pun dapat idea untuk jual topi. Jadi, bermulalah perjalanan aku mencari segala macam sumber untuk dapatkan harga topi yang murah dan kualiti topi yang padu.


Cari punya cari punya cari punya cari, akhirnya aku jumpa satu kedai yang menjual topi di Shopee. Aku pun terus cubalah beli beberapa jenis topi dekat kedai Shopee tu.


Lepas tu aku buat pilihan topi mana yang sesuai untuk dijual dekat kedai Instagram aku yang diberi nama Naktopi tu.


Mujurlah aku dah pernah explore Instagram Ads atau FB Ads. Jadi, permulaan nak jual topi tu tak adalah terlalu susah sangat.


Aku tak perlu pun nak spam orang lain hanya semata-mata nak menjual sebiji topi. Aku buat bisnes topi tu dengan berhemah dan beretika. (Tak macam kau. Kerja nak spam je. Apa kau ingat orang tak menyampah ke dengan cara kau tu? Huh!)


Dalam masa yang sama, aku pun buat jugak quote apa bagai tu. Benda tu sekadar untuk free marketing je. So, tak adalah aku nak bergantung sepenuhnya dekat IG Ads je kan?


Tapi bila dah lama-lama tu, aku dapati susah pulak jual topi tu. Hahaha!


Sales memang ciput. Walaupun aku buat dropship je, tapi rasa macam buang masa pulak. Lagipun, tak ada yang menarik dekat topi aku tu. Sekadar topi kosong je. Plain. Tak ada apa-apa logo.


Tapi...ada beberapa orang customer yang tanya aku:


"Kenapa tak letak logo Naktopi? Cantik jugak logo Naktopi tu. Letaklah logo tu kat topi ni boss!"


Kalau kau nak tahu, sebenarnya yang diorang suruh letak tu bukanlah logo pun. Cuma tulisan je dan sekadar font yang tertulis huruf "N" atau mungkin tertulis nama "Naktopi" tu.


Font apa?


Font tu adalah font yang sama aku gunakan untuk nama aku — Nawawi Mohshin, yang sekarang ni.


Bila aku decide untuk tutup bisnes Naktopi tu, aku gunakan semula font yang sama untuk Naktopi tu dan jadikan font untuk nama aku pulak.


Alhamdulillah. Sampai sekarang aku masih gunakan font tu untuk nama aku. Aku ni jenis cepat bosan. Tapi tak sangka pulak, lama jugak aku guna font ni untuk nama aku.


Mungkin sebab aku dah makin tua kot. Malas nak fikir banyak sangat pasal benda yang tak terlalu penting ni (tapi penting jugak sebenarnya).


Apa-apa pun, Naktopi tu dah lama meninggal dah. Yang tinggal sekarang ni hanyalah — Nawawi je.


Kadang-kadang, ada jugak aku terfikir nak tutup je projek "Nawawi Mohshin" ni.


Tapi bila difikirkan semula, aku ni bukannya ada apa pun nak buat kalau aku tak teruskan projek Nawawi Mohshin ni. Terutama sekali, channel YouTube aku tu.


Jadi, setiap hari, walaupun aku tak ada mood nak buat video baru dekat channel YouTube aku, aku akan kerah jugak otak aku untuk susun semula masa depan "Nawawi Mohshin" ni.


Walaupun penat sebab aku buat benda ni sekadar "one man show" je. Buat kerja sorang-sorang je.


Tapi aku rasa bebas. Bebas mencari idea. Bebas untuk berimaginasi. Bebas untuk bereksperimen. Bebas untuk berkarya. Bebas untuk berkreativiti.


Itulah sebenarnya yang aku nak.


Bebas.



Nawawi Mohshin merupakan seorang...entahlah. Aku pun tak tahu aku ni siapa sebenarnya. Konfius!

Sila picit sini untuk maklumat lanjut.