Maaf, Orang Tua DILARANG BACA!

Maaf, Orang Tua DILARANG BACA!


Oleh: Nawawi Mohshin


2 SEPTEMBER 2020 — Aku tengok Wacana Sinar semalam.


Aku tak tengok live. Sebaliknya, aku tengok rakaman live je sebab semalam aku bawak mak dan adik aku makan dekat luar.


Sebelum-sebelum ni, ada satu restoran dekat area Senawang yang aku nampak macam meriah setiap malam.


Jadi, aku pergilah makan dekat situ dengan mak dan adik aku.


02/09/2020 — Nama restoran ni D'Malee Seafood dan terletak herhampiran kawasan bangunan lama CIMB Bank dekat Senawang.


Selesai makan, kitorang singgah dekat uptown Senawang — sebab aku nak cari perfume murah. Stok dekat rumah dah habis. Adik aku pulak beli apa entah.


Selesai urusan dekat uptown Senawang tu, kitorang terus chow balik rumah lelaju.


Sampai dekat rumah, aku terus buka YouTube. Niat aku, nak tengok rakaman forum Wacana Sinar. Tapi rasanya macam belum ada orang upload dekat YouTube lagi.


Jadi, aku terus bukak Facebook dan cari di Facebook. Syukur, ada.


Aku picit butang "play" dan terus layan forum yang berdurasi lebih kurang satu jam lebih tu.



WACANA SINAR | ORANG MUDA: KENAPA PERLU PARTI BAHARU?


Wacana tu adalah sebuah forum anjuran Sinar Harian yang membincangkan topik; "Orang muda: kenapa perlu parti baharu?"


Forum tu membariskan 3 orang panelis: 


  1. YB Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar)
  2. Syahir Sulaiman (Setiausaha Politik Presiden PAS)
  3. YB Juwairiya Zulkifli (ADUN Bukit Melawati)


Moderator yang bertanggung jawab untuk menambahkan kehangatan forum tu ialah saudara Azlan Shah.


01/09/2020 — Ni poster untuk forum tu. Kalau kau belum tonton forum ni, picit sini.


Forum bukanlah debat. Tujuan debat adalah untuk membuktikan mana satu pihak yang lebih baik hujahnya. Debat pulak, mesti akan ada pihak yang menang dan ada pihak yang kalah. Atau mungkin juga kedua-dua pihak dianggap seri kerana hujah masing-masing yang power.


Forum adalah perbincangan terbuka. Setiap ahli panel diberi peluang untuk mengemukakan pandangan/hujah/jawapan berdasarkan soalan atau topik perbincangan forum tu.


Tujuan forum bukan untuk menangkan hujah. Tujuan forum adalah supaya menjentik sel otak penonton untuk berfikir dan mencari jawapan sendiri.



YB SYED SADDIQ


Tumpuan forum ini semestinyalah kepada Syed Saddiq sebab dialah punca yang membuatkan secara tiba-tiba rakyat Malaysia (terutamanya golongan muda) membicarakan perihal "parti baharu berteraskan orang muda" ni.


Menariknya, idea yang disampaikan oleh Syed Saddiq tentang mengapa kita perlukan parti baharu berteraskan orang muda ni, sebenarnya sama dengan idea yang aku lontarkan dalam video YouTube aku sebelum ni:


30/08/2020 — Ini video terbaru aku dekat YouTube. Aku publish hari Ahad haritu. Picit sini kalau nak tolong payung satu view. Huhu.


Tak, itu bukan bermaksud otak aku power. Aku ni mengaji tak tinggi pun. Belajar pun biasa-biasa je. Pemalas pulak tu.


Tapi, kalau aku boleh berfikiran macam tu, itu sebenarnya menunjukkan, apa yang sedang dan bakal berlaku dalam politik Malaysia sekarang ni adalah benda biasa yang sedang bermain di fikiran majoriti orang muda ketika ini.


Mungkin kau juga terfikir benda yang sama selama ni. Bezanya...



SYAHIR SULAIMAN


Seingat aku, berulang kali jugak Syahir Sulaiman ni kata lebih kurang macam ni:


"Apa yang dilakukan oleh Syed Saddiq dan team beliau ini adalah suatu tindakan yang BERANI."


Jelas, Syahir Sulaiman tak pandang rendah usaha penubuhan parti baharu berteraskan anak muda.


Malah, Syahir Sulaiman sendiri menyatakan ini adalah "wake up call" untuk semua parti sedia ada supaya memberi ruang dan peluang kepada orang muda untuk memimpin atau menentukan hala tuju parti sedia ada.


Aku tak minat pun Syahir Sulaiman ni. Sebab memang selalunya orang PAS ni jelas terpampang cap "taksub" di dahi diorang.


Tapi dalam forum tu, apa yang dia sampaikan, nampak sedikit terbuka dan seolah-olah macam bukan seorang ahli PAS.


Pelik jugak aku.


Tapi...



YB JUWAIRIYA ZULKIFLI


Aku tak pernah tahu siapa YB Juwairiya Zulkifli ni. Baru je semalam kenal nama dan muka dia. Orang PKR rupanya.


Dalam forum tu, YB Juwairiya ni banyak mengingatkan supaya berfikir juga tentang — RISIKO.


Ya, dia maksudkan supaya parti baharu berteraskan orang muda ni untuk berfikir juga soal risiko di masa depan.


Pada aku, bagus dia ingatkan soal risiko ni. Sebab, memang jiwa orang muda ni selalunya gopoh dan gelojoh bila buat sesuatu keputusan.


Cumanya, tak perlulah over sangat asyik nak fikir risiko je sampai satu apa tindakan pun tak diambil.


Fikir risiko ni bagus. Ini supaya kita boleh susun pelan seterusnya kalau pelan A gagal. Setidak-tidaknya, kita dah ada pelan B, pelan C, pelan D dan seterusnya.


Tapi apa-apa pun benda besar yang kita nak buat, ingat semula peribahasa ni:


"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai."



PERLU KE PARTI BAHARU BERTERASKAN ORANG MUDA?


Di akhir forum, moderator forum tu kembalikan persoalan topik forum tu kepada penonton — "orang muda: kenapa perlu parti baharu?"


Aku, sebagai orang yang masih muda dari segi umur dan pemikiran, aku rasa — PERLU.


Sebabnya, aku suka bereksperimen. Aku anggap parti baharu berteraskan orang muda ni sebagai satu eksperimen baru dalam politik Malaysia.


Kita dah pernah rasa pemerintahan BN. Kita dah pernah rasa pemerintahan PH. Kita sedang rasa pemerintahan PN.


Tapi, kita belum pernah rasa pemerintahan negara yang dipimpin majoriti orang #MUDA.


So, why not?


30/08/2020 — Ini gambar hari Ahad haritu. Aku pergi PD dengan family akak-akak aku. Tapi PD full house. So, kitorang lepak dekat area pantai ni. Sumpah best sebab tak ramai orang area sini.



Nawawi Mohshin merupakan seorang content creator yang tidak famous di internet. Blog ini pula merupakan platform utama untuk beliau terbitkan idea, pendapat, pemikiran, persoalan, perkongsian atau apa saja yang terlintas di kepala otak beliau.