Misteri Terghaibnya Sepatu Vans Sarung Tengkorak

Misteri Terghaibnya Sepatu Vans Sarung Tengkorak

|

Pertama kali aku tengok kasut Vans adalah waktu zaman sekolah menengah dulu. Tak ingatlah waktu tu aku tingkatan berapa. Tapi rasanya tingkatan dua kot.

Ada sorang kawan aku ni, dia pakai kasut Vans dia pergi sekolah. Vans slip-on. Atau bahasa budak-budak zaman tu; "Vans sarung".

Sebab apa "Vans sarung"? Sebab kasut tu hanya perlu sarung je kalau nak pakai. Tak payah susah payah nak ikat tali apa bagai.

Seingat aku, design pada kain kasut kawan aku tu adalah design camouflage (celoreng).

Sejujurnya, aku tak tertarik dengan camouflage tu. Aku cuma tertarik dengan design kasut Vans tu sendiri. Nampak simple tapi style.


Budak Shuffle

Waktu zaman tu, budak shuffle ramai yang pakai kasut Vans slip-on ni.

Mungkin sebab kasut ni mudah nak seret kaki diorang dekat lantai. Maklumlah, budak shuffle kan. Memang itu je lah kerja diorang.

Hari-hari nak seret kasut dekat lantai. Sampai haus tapak tu dibuatnya.

Apa kejadah lah.


Vans Slip-on Warna Hitam

Terbakar dengan kawan aku yang pakai Vans slip-on camouflage tu, sorang lagi kawan aku pun beli jugak Vans slip-on tu.

Dia beli warna yang full hitam. Kain hitam. Tapak hitam. Getah lilit kasut belah tepi tu pun hitam. Pendek kata, hitam belaka.

Meleleh air liur aku tengok waktu tu. Sebab aku memang suka warna hitam (selain putih).

Tapi walaupun aku minat kasut tu, aku tak beli pun.

Sampailah aku...


Tingkatan Empat

Waktu tu aku dah masuk sekolah asrama.

Masuk sekolah asrama ni, memang senang nak kumpul duit. Makan minum dah disediakan. Duit belanja yang mak ayah aku bagi tu, aku simpan je sampai tebal.

Waktu rehat dekat sekolah pun aku tak makan sangat. Setakat beli roti macam tu je. Jadi, memang banyak aku jimat.

Duit yang agak banyak tu, aku jadikan simpanan untuk melamar...


Vans Slip-on Pertama Aku

Duit dah cukup. Jadi, waktu sampai masa untuk balik bulanan tu, sebelum balik rumah, aku singgah Kodai Sopan dekat Terminal One, Seremban.

Kodai Sopan tu memang dikenali budak-budak baru nak up (macam aku waktu tu) sebab menjual barang atau pakaian trend anak-anak muda. Tapi rasanya kedai ni tak wujud dah. Kalau tak silap aku, diorang dah pindah ke Senawang dan tukar jadi kedai gunting.

Aku masuk. Aku tengok-tengok dulu apa yang ada. Aku tanya apa yang patut.

Sayangnya, design Vans slip-on yang aku nak tu, tak ada pulak. Aku nak beli warna hitam full. Tapi habis stok katanya.

Kecewa aku. Hmmmh.

"Tapi dik, yang ni pun lawa tau. Warna hitam jugak." Kata sorang akak pelayan tu dekat aku.

Aku belek-belek kasut tu. Design dia nampak ganas. Kau tahu design apa?

Design tengkorak! Hahaha.

Kain kasut tu warna hitam. Getah lilit tepi kasut tu warna putih. Tapi ada gambar tengkorak putih atas kain hitam tu.

Buruk? Memang!

Tapi apakan daya. Itu je yang ada. Aku pun terimalah seadanya.

"Alah, dik! Sorry. Saiz ni je yang tinggal. Kalau saiz yang kecik lagi tak adalah." Kata akak pelayan tu.

"Lah, ya ke? Kejap ya kak? Biar saya fikir dulu." Kata aku dengan nada kecewa.

"Tapi dik. Tak adalah besar sangat pun saiz ni. Akak tengok sesuai dan selesa je adik pakai." Akak tu meyakinkan aku untuk beli. Biasalah, adat orang meniaga. Ayat manis potong kaki.

"Ya ke kak? OK lah kak. Saya ambik je lah yang ni." Aku termakan kata-kata manis akak tu.

Selesai bayar. Aku terus chow balik ke rumah menaiki bas Cityliner nombor 58.


Bukan Rezeki Aku

Sayangnya, dipendekkan cerita beberapa hari selepas kasut Vans slip-on tengkorak tu jadi milik aku, kasut tu tetiba ghaib entah ke mana.

Aku letak kasut tu dekat luar rumah. Tapi entah baghal mana yang rembat kasut aku tu pun aku tak tahu.

Sedih. Kecewa. Marah.

Itulah yang aku rasa waktu tu. Kalau tak silap aku, aku mungkin baru pakai sekali je kot kasut tu buat pergi jalan.

Tapi apakan daya, silap aku jugak pergi letak kasut tu dekat luar rumah. Hmmmh.


Setia Pada Yang Satu

Aku ni kalau beli baju atau apa-apa, kalau aku dah selesa dan suka dengan benda tu, aku akan beli yang tu je.

Macam tu jugak dengan kasut Vans slip-on tu. Tapi aku trauma selama bertahun-tahun untuk beli kasut Vans slip-on yang seterusnya.

Aku takut dia hilang lagi.

Jadi, waktu masuk U dekat Terengganu, aku pun beli kasut dengan pattern yang lebih kurang sama dengan Vans slip-on tu.

Tapi aku beli jenama Bata je. Haha.

Aku bukan jenis kisah pasal jenama apa bagai ni.

Yang penting benda tu nampak simple dan style je (pada mata aku). Itu pun dah cukup.

Tapi kasut Bata aku beli tu tak tahan sangat. Aku rasa mungkin kena beli dua tiga pasang jugak dalam setahun.

Jadi, aku tak teruskan untuk beli kasut jenis slip-on jenama Bata tu.

Aku mula belajar untuk beli dan pakai kasut dengan pattern design yang berbeza.


Trauma Hilang Sesuatu

Aku dah pernah rasa kehilangan kasut Vans slip-on pertama yang aku sayang waktu sekolah menengah dulu.

Aku juga dah pernah rasa kehilangan laptop pertama aku waktu dekat U dulu (kena curi).

Aku pun dah pernah rasa kehilangan awek-awek yang aku sayang  (kebanyakannya sebab diorang kahwin dengan orang lain).

Jadi, sejak dua tahun yang lalu, aku cuba untuk sembuhkan diri aku sendiri dari trauma kehilangan sesuatu yang aku sayang.

Syukur, hampir kesemua trauma tu dah mula lenyap sedikit demi sedikit dari hidup aku.


Misi Vans Slip-on 2.0

Dan sekarang, sebelum aku mulakan misi mencari awek baru (maksud aku calon isteri), aku nak fokus misi membeli Vans slip-on dulu.

Itu sebagai reward income YouTube pertama aku sebenarnya. Tak banyak pun income YouTube pertama aku.

Lebih kurang RM400 macam tu je (mungkin selepas tolak fee Western Union).

Aku pun belum cash kan lagi. Jadi, aku belum tahu berapa jumlah akhir sebenarnya.

Aku target nak beli Vans slip-on pro. Warna hitam. Getah lilit tepi tu pulak warna putih. Aku tengok macam selesa je design dia.

Tapi sayangnya, sampai saat aku menulis post ni, hasil survei di official website Vans Malaysia, saiz yang aku nak tu kehabisan stok.

Jadi, terpaksalah aku tunggu bulan depan atau mungkin tahun depan sebelum diorang restock semula.

Tapi persoalannya:

  1. Apa benda yang aku duk merepek dari awal post ni sebenarnya?
  2. Apa tujuan post ni sebenarnya?
  3. Untuk apa aku tulis post ni sebenarnya?

Jawapan aku mudah:

"Entah! Aku pun tak tahu."

Huhu.

Nawawi Mohshin merupakan seorang content creator yang tidak famous di internet. Blog ini pula merupakan platform utama untuk beliau terbitkan idea, pendapat, pemikiran, persoalan, perkongsian atau apa saja yang terlintas di kepala otak beliau.