FLORENCE NIGHTINGALE | Hari Jururawat Sedunia Diabadi Sempena Tarikh Lahirnya

|


1. KOTA FLORENCE, ITALI


Florence Nightingale merupakan warganegara British yang dilahirkan di Kota Florence, Itali pada tarikh 12 Mei 1820.


Florence Nightingale dibesarkan dalam keluarga kelas atasan yang kaya.


Menjadi kelaziman orang-orang kelas atasan ketika itu, anak-anak perempuan mereka tidak didedahkan dengan pendidikan formal.


Sebaliknya, anak-anak perempuan hanya akan dilatih untuk menjadi seorang isteri mithali dan ibu yang bertanggungjawab sahaja.


Namun begitu, ayah kepada Florence Nightingale tidaklah terlalu berfikiran jumud sehingga sedemikian rupa.


Bagi ayahnya, anak-anak perempuan juga perlu diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan yang setaraf dengan lelaki.




2. PENDIDIKAN AWAL


Sejak kecil lagi, ayah Florence Nightingale memberikan pendedahan ilmu yang sebanyaknya kepada Florence Nightingale.


Melalui didikan ayahnya, Florence Nightingale dapat mempelajari pelbagai bidang ilmu termasuklah:


  • Ilmu matematik
  • Ilmu kesusasteraan bahasa
  • Ilmu falsafah
  • Ilmu sains
  • Dan pelbagai cabang ilmu lagi.


Pendedahan ilmu dan keterbukaan minda Florence Nightingale ini, akhirnya menjentik hatinya untuk memanfaatkan dirinya dengan cara berkhidmat kepada masyarakat.




3. IMPIAN MENJADI JURURAWAT


Sekitar tahun 1844, kerana tertarik dengan bidang kejururawatan, Florence Nightingale memberitahu keluarganya bahawa dia mahu menjadikan bidang kejururawatan sebagai bidang kerjayanya.


Hal ini membuatkan keluarganya tidak senang kerana keputusan Florence Nightingale itu sudah jauh tersasar dari adat kebiasaan anak-anak perempuan dari golongan kelas atasan yang kaya.


Selain itu, keluarganya turut menganggap bidang kejururawatan tidak sesuai dengan golongan elit seperti mereka.


Pada mereka, bidang kejururawatan terdedah kepada suasana kerja yang tidak bersih dan mungkin menjadi punca terdedah kepada pelbagai jenis penyakit yang tidak diingini.


Hmmmh. Keluarganya suka atau tidak, Florence Nightingale peduli apa?


Hatinya sudah bulat. Dirinya sudah tekad. Misinya jururawat. Demi siapa? Demi masyarakat.


Walau apa sahaja halangan yang datang, Florence Nightingale pasti akan berusaha keras untuk menempuhinya.


Walaupun halangan itu adalah; cinta.




4. CINTA PENGHALANG IMPIAN


Ya, Florence Nightingale pernah bercinta dengan seorang ahli politik bernama Richard Monckton Milnes.


Bukan bercinta sehari dua. Sebaliknya, sembilan tahun.


Namun, kerana mahu mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang jururawat, Florence Nightingale terpaksa mengorbankan cintanya dan tidak jadi untuk berkahwin dengan ahli politik tersebut.


Bagi Florence Nightingale, perkahwinan hanya akan merencatkan impiannya untuk mula berkhidmat sebagai seorang jururawat.


Biasalah, perempuan kan?


Kalau dah namanya perempuan, pastinya semudah itu membuat keputusan.


Dan pastinya juga, Semudah itu, memutuskan hubungan cinta, di tengah jalan.




5. IMPIAN TERCAPAI


Walaubagaimanapun, mungkin disebabkan niatnya yang ikhlas untuk berkhidmat kepada masyarakat serta keinginannya yang tinggi untuk mendalami ilmu sains kejururawatan, maka pada bulan Ogos 1853, Florence Nightingale diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua jururawat di Institute for the Care of Sick Gentlewomen di London.


Ayah Florence Nightingale menyokong usaha serta keinginan tinggi yang ditunjukkan oleh Florence Nightingale untuk mengejar impian dan cita-citanya itu.


Kerana itu, ayahnya telah memberikan wang belanja kepadanya, sebanyak £500 untuk digunakan selama tempoh setahun.


Nilai itu bukanlah sedikit. Jika ditukarkan ke dalam nilai pound pada hari ini, jumlah £500 itu sebenarnya bersamaan dengan £40,000.


Manakala jika ditukar ke dalam nilai ringgit pula, jumlah £40,000 itu secara kasarnya bersamaan dengan RM211,000.


Ini bermaksud, ayahnya memberikan wang belanja sebanyak RM17,500 setiap bulan!


Jadi, korang nilailah sendiri, betapa kayanya keluarga Florence Nightingale ini.




6. PERANG CRIMEA


Setahun kemudian, pada bulan Oktober 1854, Florence Nightingale diberikan satu tugasan yang lebih mencabar.


Florence Nightingale, bersama 38 orang sukarelawan jururawat yang pernah dilatihnya berserta 15 orang biarawati Katolik atau mudah kita katakan, paderi wanita, kesemua mereka diarahkan untuk berkhidmat sebagai jururawat di sebuah kem tentera dalam Perang Crimea.


Perang Crimea merupakan peperangan antara blok Empayar Turki Uthmaniyah dengan blok Empayar Rusia.


Ketika peperangan itu, blok Empayar Turki Uthmaniyah dibantu oleh negara Tunis, negara Mesir, Empayar British, Empayar Perancis dan beberapa buah negara lagi.


Kekuatan tentera blok Empayar Rusia mencecah lebih 800,000 orang tentera.


Manakala, kekuatan tentera blok Empayar Turki Uthmaniyah pula hanyalah sekitar 600,000 orang tentera sahaja dan itupun sudah termasuk sokongan tentera dari Empayar British serta beberapa buah negara yang lain lagi.




7. MEMBUAT RUMUSAN AWAL


Sampai sahaja di kem tentera blok Empayar Turki Uthmaniyah tersebut, Florence Nightingale dan pasukan jururawatnya mula membuat satu rumusan awal.


Florence Nightingale dan pasukan jururawatnya mendapati bahawa, terdapat banyak kekurangan yang perlu diperbetulkan dengan kadar segera. Antaranya:


  1. Kesemua tentera yang sakit perlulah diberikan rawatan terbaik dan diberikan bekalan ubat yang mencukupi.
  2. Kesemua kakitangan petugas kesihatan perlulah mengamalkan budaya kebersihan dengan sebaiknya; sebelum, semasa dan selepas merawat pesakit.
  3. Kesemua pesakit perlulah dihidangkan makanan yang bersih dan berzat dengan semaksimumnya.


Satu laporan khas dihantar oleh Florence Nightingale dan pasukan jururawatnya kepada pihak atasan.


Tanpa banyak soal, pihak atasan terus mendirikan sebuah rumah sakit pasang siap yang baru, dengan segera.




8. PENURUNAN PERATUS KADAR KEMATIAN


Syukur.


Kepintaran, kecerdasan dan kepantasan Florence Nightingale serta pasukan jururawatnya membuat rumusan awal ketika berada di kem tentera tersebut, telah membantu mengurangkan kadar kematian tentera di kem tentera tersebut.


Jika sebelum itu, peratus kadar kematian tentera mencecah sehingga 42%, namun kecaknaan Florence Nightingale dan pasukan jururawatnya telah membantu menurunkan peratus kadar kematian sehingga hanya 2% sahaja!


Antara sebab utamanya cuma satu; Florence Nightingale menyeru kesemua kakitangan perubatan serta kesemua tentera di kem tersebut-- supaya mengamalkan budaya penjagaan kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dan sebagainya.




9. THE LADY WITH THE LAMP


The Lady with the Lamp adalah gelaran yang diberikan oleh akhbar The Times kepada Florence Nightingale ketika berkhidmat sebagai jururawat di kem tentera Perang Crimea tersebut.


Ini kerana, hampir setiap malam, Florence Nightingale akan berjalan dengan lampu apinya, ke arah seorang demi seorang tentera di kem tersebut, untuk bertanya khabar dan melihat tahap keadaan kesihatan kesemua tentera tersebut.




10. MENULIS BUKU


Beberapa tahun selepas tamat Perang Crimea, iaitu sekitar tahun 1859, Florence Nightingale yang memang suka menulis, telah menulis sebuah buku berjudul "Notes on Nursing".


Buku tersebut ditulis dengan bahasa yang mudah difahami oleh orang awam ketika itu.


Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah supaya masyarakat lebih peka terhadap budaya penjagaan kebersihan yang betul serta dapat mengetahui asas ilmu kejururawatan walaupun hanya ketika berada di rumah.




11. SEKOLAH JURURAWAT


Setahun kemudian pula, iaitu sekitar bulan Julai 1860, Florence Nightingale telah mengasaskan sekolah jururawatnya sendiri, yang dikenali sebagai Nightingale Training School di St. Thomas Hospital.


Misi sekolah jururawatnya itu adalah untuk melahirkan jururawat yang terlatih dan betauliah.


Bukunya yang berjudul "Notes on Nursing" telah dijadikan asas kurikulum awal bagi sekolah jururawatnya itu.




12. DIANUGERAHKAN ROYAL RED CROSS


Usaha Florence Nightingale dalam memartabatkan bidang kerjaya kejururawatan moden serta perkhidmatannya dalam Perang Crimea mendapat perhatian pihak istana di United Kingdom.


Pada tahun 1883, Queen Victoria buat julung kalinya telah menganugerahkan Royal Red Cross kepada Florence Nightingale.


Menariknya, Florence Nightingale merupakan penerima pertama bagi anugerah diraja kelas pertama tersebut.




13. RAKAMAN SUARA ASLI


Pada tahun 1890, satu rakaman suara melalui mesin fonograf iaitu sebuah alat perakam suara yang popular pada zaman itu, telah memperdengarkan suara asli Florence Nightingale.


Suaranya dirakam bagi tujuan memohon sumbangan dana bagi golongan veteran, cabang gerakan khas anggota tentera yang terlibat dalam Perang Crimea.


Berikut adalah transkrip suara asli Florence Nightingale pada tahun 1890 tersebut:


"When I am no longer even a memory, just a name, I hope my voice may perpetuate the great work of my life.


God bless my dear old comrades of Balaclava and bring them safe to shore."


- Florence Nightingale



Terjemahannya lebih kurang begini:


"Ketika saya tidak lagi menjadi kenangan, hanya sekadar nama, saya harap suara saya dapat mengabadikan karya hebat dalam hidup saya.


Tuhan memberkati rakan-rakan lama Balaclava yang saya sayangi dan membawa mereka selamat ke pantai."


- Florence Nightingale




14. MENGHEMBUSKAN NAFAS TERAKHIR


Tanggal 13 Ogos 1910, ketika berusia 90 tahun, Florence Nightingale telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di London.


Jasad Florence Nightingale dikebumikan di tanah perkuburan Gereja St. Margaret di England.




15. IBU KEJURURAWATAN MODEN


Jasanya dalam bidang kejururawatan moden terlalu banyak dan terlalu besar.


Sebagai mengenang jasanya, beberapa buah hospital di Turki telah mengabadikan nama Florence Nightingale sebagai nama bagi hospital tersebut.


Kerana jasanya yang terlalu besar itu juga, pada tahun 1974, tarikh lahir Florence Nightingale iaitu 12 Mei, telah diabadikan sebagai tarikh sambutan tahunan bagi Hari Jururawat Sedunia.


Kini, boleh juga dikatakan, hampir seluruh dunia mengiktiraf jasa Florence Nightingale dalam usaha memartabatkan bidang kejururawatan moden dan kerana itu, Florence Nightingale hari ini lebih dikenali dengan gelaran; "Ibu Kerjururawatan Moden".




16. DEMI MANFAAT SEMUA


Sebagai seorang manusia berakal, banyak nilai kebaikan yang boleh kita ambil dari kisah ringkas perjalanan perjuangan hidup Florence Nightingale ini. Antaranya, termasuklah:


1. Berani langgar adat, demi manfaat masyarakat.


Andai mahu diikutkan, boleh saja Florence Nightingale memilih untuk hidup seperti anak perempuan keluarga kelas atasan yang setaraf dengannya.


Namun, Florence Nightingale memilih untuk keluar dari zon selesa, semata-mata mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat di sekelilingnya.


Baginya, adat kebiasaan yang diamalkan oleh keluarga kelas atasan terhadap anak perempuan sepertinya, sangatlah tidak bersesuaian untuk dipraktikkan kepada dirinya.


Florence Nightingale berpendapat bahawa; seseorang anak perempuan itu perlu diperluaskan lagi peranan dirinya di atas muka bumi ini.


Bukan hanya sekadar dilahirkan untuk menjadi isteri kepada suami dan hanya menjadi seorang ibu kepada anak-anak, semata-mata.


Sebaliknya, seseorang anak perempuan itu berhak untuk memilih masa depannya sendiri terutama sekali apabila melibatkan keinginan untuk menyumbangkan tenaga dan buah fikir kepada masyarakat.



2. Sanggup berkorban, demi impian.


Walaupun sudah mencecah sembilan tahun hubungan percintaannya dengan Richard Monckton Milnes yang merupakan seorang ahli politik, namun Florence Nightingale sanggup mengorbankan hubungan cintanya itu.


Ini semua adalah kerana, Florence Nightingale tidak yakin bahawa hubungan percintaan atau perkahwinan mereka berdua mampu memudahkan usahanya untuk mencapai cita-cita.


Walaupun mungkin hatinya berat untuk membuat keputusan itu, tetapi demi cita-cita dan impiannya untuk menjadi seorang jururawat yang memberi manfaat kepada masyarakat, maka terpaksalah dikorbankan rasa cinta itu.



3. Memandaikan masyarakat.


Buku tulisan Florence Nightingale berjudul "Notes on Nursing" pada asalnya ditulis khas untuk orang awam.


Buku tersebut ditulis dengan bahasa yang mudah difahami oleh orang awam pada zaman tersebut.


Antara tujuan utama penulisan buku tersebut sememangnya untuk memandaikan masyarakat berkaitan:


  1. Kepentingan menjaga kebersihan diri.
  2. Kepentingan mengetahui asas ilmu kejururawatan di rumah.
  3. Kepentingan memilih makanan berkhasiat dan berzat sebagai amalan pemakanan harian.
  4. Serta beberapa perkara penting lagi.


Penulisan serta penerbitan buku tersebut merupakan antara contoh terbaik yang patut kita teladani.


Jika di zaman kita yang sekarang ini pula, seandainya kita tidak mampu menulis dan menerbitkan buku tulisan kita, sekurangnya-kurangnya, cukuplah sekadar menulis ebook sebagai alat penyampai maklumat, ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat untuk generasi semasa dan akan datang.


Jika menulis ebook pun kita tidak mampu, mungkin kita boleh menulis di blog atau di laman media sosial saja.


Jika itu pun kita kurang berkemampuan, mungkin kita boleh picit butang "share" atau picit butang "retweet" apabila terjumpa post atau tweet yang bermanfaat.


Tapi jika itu pun kita tidak mampu juga, maka…


...apa kejadahnya kita hidup di atas muka bumi milik Allah ini???


Hahaha.


#donedakwah

#donemarahtapisayang



4. Niat yang ikhlas.


Florence Nightingale ikhlas dalam usaha mengejar cita-citanya. Tujuannya hanyalah kerana mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat.


Walaupun Florence Nightingale lahir dari keluarga kelas atasan yang kaya, namun itu tidak menjadikannya alasan untuk hidup bermewah-mewahan.


Sebaliknya, Florence Nightingale sendiri memilih untuk berkhidmat kepada masyarakat yang jauh tarafnya jika dibandingkan dengan dirinya.


Dan itulah yang membezakan Florence Nightingale dengan kau.


Ops! ๐Ÿ™Š




17. MASA UNTUK BERMAIN!


Tahniah dan terima kasih sebab kau sudi baca post untuk blog aku ni sampai habis.


Tapi sebelum kau lupa semua benda yang kau baca dalam post ni, jadi aku nak ajak kau main game pulak.


Untuk pengetahuan, aku ada buat game dan aku publish di Google Play. Tapi sorry kalau kau pengguna iPhone.


Sebab game ni hanya ada di Google Play Store je. Kalau nak publish dekat App Store, tinggi kos aku kena bayar nanti.


Aku ni dah lah miskin. Mana ada duit sangat. Hmmmh.


Game yang aku buat ni simple je. Game soalan kuiz trivia je.


Ada 20 soalan berpandukan post ni. Tapi kau jangan risau. Semuanya "kacang-kacang" belaka.


Sebelum kau install, aku nak maklumkan, aku setkan game ni untuk 13 tahun ke atas.


Andai kata umur kau masih bawah 13 tahun atau phone kau disetkan umurnya bawah 13 tahun, so kau tak boleh main game ni.


Kalau nak main jugak, pandai-pandailah kau tukar setting umur kau dalam phone kau tu.


Jadi, dah sedia? Ayuh ikut cara ni:


Cara #1


Buka apps Google Play dan search keyword "Nawawi Mohshin".


Lepas tu tunggu apa lagi? Kasi install lah laju-laju!


Cara #2


Tapi kalau kau tak jumpa game tu dekat Google Play, kau boleh pergi ke halaman "Mengenai" dalam blog aku ni dekat www.nawawimohshin.com/mengenai dan picit link "Google Play".


Lepas tu, install lah game aku tu dengan hati yang tenang.


Cara #3


Kau dah install game aku dekat Google Play, tapi tak ada soalan kuiz trivia terkini?


Untuk makluman, setiap post yang aku publish dekat blog ni, aku akan sediakan jugak 20 soalan kuiz dalam game aku tu.


Jadi, kalau kau tak jumpa soalan terkini, kau hanya perlu update versi terkini game aku.


Pergi semula dekat laman game aku dekat Google Play dan picit "Update".


Kalau dah update pun tak ada jugak, maksudnya kau kena update dalam game pulak.


Pergi dekat bahagian "Level" dan picit butang "Check New Levels".


Kalau tak ada jugak, mungkin soalan kuiz terkini tu aku belum siapkan lagi. Atau mungkin jugak, aku dah tak ada lagi dekat dunia ni. Huhu.


Baiklah, kita jumpa dekat dalam game! ๐Ÿ˜‰๐Ÿค™๐Ÿป